“Saya Terus Balas Kembali Mesejnya Tapi Hairan, Tiada Jawapan” Isteri Dedah Keadaan Terakhir Suami Pesakit Covid Sebelum “Pulang”

0 425

“SEBELUM pulang, kami saling melambai… siapa sangka, itulah lambaian terakhir arwah,” kata Intan Zainab Ismail Ikram yang kehilangan suami kerana Covid-19.

Menurut Intan Zainab, suaminya Reza Adnin Roslan menghembuskan nafas terakhir pada 28 Mei lalu selepas 10 hari bertarung nyawa melawan Covid-19.

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasa kematian. Al-Fatihah buat suamiku, Reza Adnin Roslan,” tulis Intan Zainab pada video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Dengan lagu latar ‘Kemarin’ dendangan kumpulan Seventeen, video berdurasi 1.04 minit itu memang mengundang sebak sesiapa sahaja yang menontonnya.

“Kami sempat bertemu seketika di pusat kuarantin tersebut sebelum ‘berpisah’ sementara. Anak meraung-raung sebab berpisah dengan baba dia.

“Tiga hari ditempatkan di pusat kuarantin, suami Intan Zainab terpaksa dipindahkan ke sebuah Hospital Hulu Terengganu kerana keadaannya semakin memburuk.

“Pada Isnin, 24 Mei, keputusan ujian saya keluar dan saya turut disahkan positif Covid-19 sementara anak kami negatif.

“Tapi tak ada rezeki nak jumpa suami di pusat kuarantin sebab hari itu dia dah dipindahkan ke hospital dan saya hanya dimasukkan ke pusat kuarantin pada keesokannya. Anak terpaksa saya bawa sekali memandangkan ada kekangan tertentu, lagi pula suami pesan biarlah anak ada depan mata.

“Hari-hari kami berhubung. Kerap saya call dia tapi sekejap-sekejap setiap kali, sebab dia batuk teruk. Takut dia penat kalau banyak bercakap,” ceritanya secara maya pada program Malaysia Hari Ini, Jumaat lalu.

Intan Zainab berkata, sehinggalah pada malam Khamis, suaminya mengadu sukar bernafas ketika mereka saling berhubung.

“Lebih kurang pukul 12 tengah malam, suami hantar mesej di WhatsApp memberitahu dia bergantung kepada tabung oksigen untuk bernafas. Tapi saya dah terlelap dan hanya baca mesej waktu Subuh, pagi Jumaat.

“Saya terus balas kembali mesejnya tapi hairan, tiada jawapan. Mungkin naluri isteri, saya rasa tak sedap hati. Lebih berdebar-debar bila teringat sekarang masih bulan Syawal. Saya fobia kerana dua adik beradik dan bapa meninggal ketika bulan Syawal juga sebelum ni.

“Saya tak henti-henti berzikir dan berdoa janganlah berlaku apa-apa sebab saya tak bersedia kehilangan lagi,” ujarnya yang menetap di Kerteh, Terengganu.

Debaran dialaminya terjawab selepas menerima panggilan daripada pihak Hospital Hulu Terengganu yang memaklumkan suaminya terpaksa ‘ditidurkan’ dan sedang dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Panggilan kedua diterima jam 4 petang daripada pihak hospital pada hari sama membuatkan Intan Zainab dan anaknya terpaksa menerima ketentuan Ilahi.

“Doktor dengan berat hati memaklumkan suami saya tidak dapat diselamatkan.
Menurut doktor, suami dah meninggal dunia ketika dalam perjalanan namun mereka tetap berusaha juga… tapi gagal.

“Doktor juga tunjukkan video wajah arwah… masa tu anak dah meraung panggil baba dia. Doktor pun ikut menangis sekali. Saya hampir pitam dan menggigil. Saya gagahkan solat Asar… itulah solat paling panjang sebab saya sangat lemah,” katanya dengan tabah.

Mengimbas kembali, Intan Zainab berkata, segala berlaku begitu pantas dan siapa sangka suaminya yang berusia 38 tahun dan sering mengamalkan cara hidup sihat menjadi mangsa kepada musuh yang tidak kelihatan.

Menurut Intan Zaibab yang berasal dari Kampung Bahagia, Teluk Intan, segala-galanya bermula pada 18 Mei lalu apabila suaminya diserang demam.

“Selepas makan panadol, dia masih tak kebah. Pagi esoknya selepas subuh, suami mengadu badannya lenguh-lenguh, sakit perut… saya buat bubur sebab dia tak selera makan. Selepas tu makan ubat lagi.

“Tapi demamnya tak juga kebah, malah suhu badan makin tinggi. Kami terus buat appointment untuk ujian calitan… demam sekarang bukan boleh buat main.

“Ini bukan kali pertama suami buat swab, rasanya dah kali keenam atau ketujuh sebab tuntutan kerjanya sebagai staf Petronas memerlukan dia swab setiap kali turun ‘site’. Kebanyakan masa suami kerja dari rumah.

“Dipendekkan cerita, sehari kemudian doktor telefon dan beritahu ujian swab kali ini ‘sangkut’. Suami sangat positif, dia ‘chill’ saja terima berita tu,” katanya.

Pada 21 Mei, suaminya dimasukkan ke pusat kuarantin manakala dia dan anak tunggalnya melakukan ujian calitan kerana merupakan kontak rapat.

Tiga hari selepas pemergian suami, Intan Zainab selesai menjalani tempoh kuarantin dan menziarahi pusara arwah sebaik sahaja dibenarkan pulang.

“Selepas pemergiannya, banyak sangat mesej yang saya terima cerita kebaikan arwah termasuk rakan satu wad.

“Mereka cerita arwah tak lekang dengan zikir, surah Al-Mulk malah sempat tahajud walaupun menggigil-gigil pada malam sebelum meninggal dunia.

“Arwah tiada sejarah penyakit malah dia seorang yang fit sebab suka bersukan khususnya berbasikal. Kami sangat patuhi SOP namun tiada upaya kita halang takdir yang dah tertulis. Covid-19 hanya asbabnya,” katanya.

kredit Malaysiapost

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.