Connect with us

info

Durian tak mahal, jika kita banyak duit

Published

on

SETIAP kali tiba musim durian, topik yang paling rancak hendak dibualkan mengenai raja buah itu ialah tentang harganya.

Yang pelik, pihak yang bising itu merupakan orang yang tidak sanggup membelanjakan duit untuk membeli pada harga yang ditawarkan. Orang berduit rileks saja.

Mereka berpendapat, buat apa membazir hanya untuk membeli durian yang berat kulitnya hampir mencecah satu kilogram. Tambahan pula beberapa ulas isi yang ada di dalam buah itu hanya mengambil masa sekejap untuk dimakan. Rugi!

Macam-macam tohmahan dilemparkan kepada raja buah itu. Sedangkan ia hanya mengikut aturan alam yang hanya menjelma sekali setahun apabila tiba musimnya.

Kasihan kepada musang, kunyit, tupai, udang, IOI, kahwin, D24 dan lain-lain yang sering menjadi bahan umpatan.

Masalahnya, harga yang ditawarkan bukanlah mahal tetapi kita sebenarnya yang tiada duit untuk membelinya.

Ada kawan mengeluh kerana disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, dia tidak dapat pulang ke kampung di Negeri Sembilan untuk memenuhkan but Toyota Hilux miliknya dengan durian untuk dijual di Lembah Klang.

“Buat apa jual mahal, ayah aku jual sekilo RM13 boleh dapat berbelas ribu hasil daripada sembilan batang pokok durian kampung di ladangnya. Jual murah cepat habis,” katanya yang sangat konsisten berpegang teguh pada prinsip asas ekonomi itu sejak dahulu.

Ada yang malas membeli durian kerana sudah serik ditipu. Ketika penjual mengopek sedikit, nampak isinya yang lemak dan gebu tetapi bila pulang, yang gebu itu tadi hanya sedikit dan selebihnya keras dan tawar.

Orang yang mempunyai pokok durian dan berbuah lebat berasakan dialah yang berkuasa ketika ini. Ibarat Switzerland yang mendabik dada selepas mengalahkan kuasa besar bolasepak, Perancis dalam Euro 2020.

Dia boleh jual secara pajak, tepi jalan, borong dan isi sahaja dengan mengikut harga semasa.

Namun, jika dia seorang yang berlapang dada, dia boleh sahaja menjualnya pada harga di bawah pasaran kerana buah durian datangnya dari pokok yang sama saban tahun.

Tiada modal besar yang perlu dilaburkan dalam penjagaannya tidak seperti peniaga makanan yang setiap hari bergelut mengasingkan modal dan untung untuk membeli barangan basah.

Tenaga buruh pula tidak ramai. Pekerja hanya diperlukan untuk membersihkan kebun dan mengutip hasil sebelum dijual kepada peraih.

durian

Ya peraih. Mereka ini yang sebenarnya bertanggungjawab menentukan turun naik harga durian di pasaran. Nilai durian menjadi sekali atau dua kali ganda selepas dicampurkan dengan segala macam kos. Akhirnya, pengguna yang menerima kesannya.

Pihak berkepentingan seharusnya berhenti menyokong penjualan harga melampau durian kayangan ini. Pengguna pula jangan mudah memuji atau mengeji makanan tanpa mengetahui apa di sebaliknya.

Kerana Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah memuji atau mengeji makanan sepanjang hayat baginda. – K! ONLINE

baca disini:

 

berikut adalah jenis-jenis durian .

Durian atau dalam bahasa saintifik digelar durio, menjadi sebuah daya tarikan di negara-negara Asia yang menarik ramai pelancong dunia. Kegilaan tentang raja buah ini terbukti di Thailand baru-baru ini, di mana sebiji durian Kanyao dilelong dengan harga 1.5 juta Thai Baht (RM199,000) kerana saiz, bentuk, dan kematangannya yang sempurna.

Musim durian di sini telah bermula, dan inilah waktunya untuk anda menikmati hasil yang terbaik dari dusun! Dengan lebih daripada 200 variasi durian yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian, Malaysia adalah negara penghasil durian terbanyak mengatasi Thailand dan Indonesia. Inilah beberapa jenis durian paling popular di Malaysia setakat ini:

1. Musang King (D197)

Kredit: Facebook Durian King TTDI

Tak lain tak bukan, inilah durian yang memegang takhta sebagai raja buah di Malaysia selama bertahun-tahun. Durian premium ini berasal dari Tanah Merah, Kelantan dan ia merupakan kegemaran import ke China, Amerika Syarikat, dan Australia, menjadikan harganya juga lebih mahal.

Hati-hati, kerana ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menjual jenis durian lain sebagai Musang King demi mengaut keuntungan. Durian asli Musang King mempunyai isi berwarna kuning keemasan dengan tekstur yang lembut dan berkrim. Isi durian ini juga lebih tebal, berkilat dan berbiji kecil berbanding durian lain.

Rasa: Lemak manis, sedikit pahit, buttery, aroma yang kuat

Lokasi mudah didapati: Durian King TTDI, SS2 Durian House, di sekitar Sungai Klau dan Sungai Ruan di Raub atau Gua Musang

Tips: Mempunyai bentuk lebih bujur seperti bola ragbi, kulit hijau muda, duri berbentuk seperti piramid kecil, bahagian bawah buah mempunyai corak garisan seakan-akan bintang yang ketara.

2. Tekka (D160)

Kredit: Facebook Sinnaco Durian Specialist

Berasal dari Banting, Selangor, durian Tekka pada asalnya mempunyai banyak nama panggilan (Buluh Bawah, Chok Kiok dan Green Bamboo) sebelum ia dijenamakan semula sebagai Musang Queen, menjadikannya pasangan kepada Musang King. Comel kan? Durian pun ada pasangan! 😆

Isinya pula berulas besar, tebal, dan berwarna krim kekuningan dengan biji bersaiz sederhana besar. Saiz buah ini juga sederhana besar dengan lingkungan berat 1.5 – 3 kg setiap biji, dan kulitnya yang nipis membuatkan ia mudah dikupas.

Rasa: Manis dengan sedikit pahit, berlemak, tekstur berkrim

Lokasi mudah didapati: Sinnaco Durian Specialist, Ezy Durian, Jimmy’s Durian Orchard Bentong

Tips: Saiz agak besar dan berbentuk lonjong (besar di atas, kuncup di bawah), menyerupai bentuk hati dengan lekuk pada pangsa.

3. Udang Merah (D175)

Kredit: Year of The Durian

Berasal dari Balik Pulau, durian baka kahwin ini menghasilkan isi berulas halus, berwarna kuning jingga kemerahan dan setiap biji mempunyai lapisan krim yang sangat menyelerakan. Diberi nama tempatan Ang Hae, jenis durian ini yang berkualiti tinggi agak sukar ditemui, menyebabkan harganya kadangkala lebih mahal daripada Musang King.

Durian ini juga ditanam di negeri Pahang dan Johor, tetapi rasanya tidak sama seperti Udang Merah Pulau Pinang yang asli. Kebiasaannya berkulit coklat perang, durian ini berbentuk bujur, berduri pendek, dan agak susah dikupas kerana berkulit tebal dan keras.

Rasa: Berlemak manis, melekit, halus dan lembik, aroma yang menyelerakan

Lokasi mudah didapati: Chen Brothers Durian & Fruit Kepong, Kebun Durian Soon Huat dan Kebun Durian Stone House Pulau Pinang

Tips: Kulit Udang Merah yang berwarna hijau keperangan dikatakan ditanam di luar Pulau Pinang. Untuk memilih Udang Merah yang terbaik, pastikan beratnya dalam 1 kg sebiji.

4. Sultan (D24)

Kredit: Facebook SS2 Durian House

D24 atau durian Sultan mudah untuk dikenalpasti dan ditemui. Ia berbentuk bulat, mempunyai duri yang lebih tirus dan tajam, dengan susunan duri-duri halus yang rapat di keliling tangkai. Di bahagian bawah buah ini terdapat bulatan berwarna coklat seperti serpihan dari bunga.

Berwarna kuning pucat, isinya mempunyai tekstur tebal dan lembut. Dengan harga berpatutan (dari RM19 per kg), ia juga selalu dihidang dalam bufet durian. D24 mampu memberi kepuasan setanding durian premium jika anda pandai memilih.

Rasa: Sangat berlemak, sederhana manis dan pahit, aroma sederhana kuat

Lokasi mudah didapati: SS2 Durian House, Dusun Durian D24 Azlan Gopeng, Kebun Nictron Agriculture, di sekitar Cameron Highlands

Tips: Kulit durian Sultan D24 berwarna hijau muda, nipis dan mudah dikupas. Biasanya, satu pangsa beris dua atau tiga ulas.

5. Black Thorn (D200)

Kredit: Durian Republic

Dikatakan jauh lebih enak daripada Musang King yang overrated, durian premium dari Sungai Bakap, Pulau Pinang ini semakin menjadi buruan “hantu durian”. Bergantung kepada usia pokok tersebut, isinya yang lebih bulat berbanding durian lain juga mempunyai variasi warna berbeza, daripada jingga pastel seakan-akan merah jambu, hingga jingga terang.

Walaupun isi tidak setebal Musang King, keunikan rasa lemak manis Black Thorn yang menyelerakan pasti membuat setiap penggemar durian termimpi-mimpi! Sekarang, harga Black Thorn yang berkualiti bermula sekitar RM60 per kg dan boleh mencecah RM105 per kg.

Rasa: Sangat berkrim, berlemak manis dengan aftertaste pahit, aroma kurang tajam

Lokasi mudah didapati: Durian King TTDI, SS2 Durian House, Black Thorn Durian 668 Kulim, Dusun Durian Bao Sheng Pulau Pinang

 

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri dan ini adalah sekadar perkongsian sahaja.Ribuan Terima kasih diucapkan kerana sudi meluangkan masa anda kepada kami.OKTHXBYE

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

PALING TOP