Pendapatan lumayan,cara mudah je

GAMBAR SEKADAR HIASAN.Menawarkan pulangan pendapatan sehingga RM7,000 untuk setiap kali perjumpaan dengan Sugar Mummy menjadikan segelintir individu gelap mata, sekali gus terpedaya dengan janji manis berkenaan.

‘Agensi’ perkhidmatan Sugar Mummy ini juga kononnya menawarkan pendapatan lumayan kepada pelanggan mereka sedangkan itu hanya taktik memperdayakan mangsa.

Rangkaian sindiket ini mengambil kesempatan terhadap desakan hidup pada masa kini dengan memberi ‘pekerjaan’ serta wang mudah kepada mereka yang mahu keluar daripada masalah kewangan.

Setiap individu perlu melalui proses pendaftaran dengan menyertakan gambar serta pembayaran wang yuran pendaftaran bermula RM600 hingga RM3000 mengikut pakej perkhidmatan Sugar Mummy ditawarkan.

Berdasarkan pemerhatian, wujud sindiket menawarkan yuran perkhidmatan untuk tiga kategori iaitu Sugar Mummy kelas A dengan bayaran RM3,000, kelas B bayaran RM2,000 dan kelas C pada kadar RM600.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, rangkaian sindiket itu aktif memperdayakan orang ramai menerusi pelbagai platform media sosial.

Katanya, kebanyakan mangsa penipuan ini malu untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa memandangkan ia adalah sebahagian aktiviti yang tidak bermoral.

Menurutnya, taktik mereka agak mudah iaitu menawarkan pendapatan lumayan atau hampir tidak masuk akal apabila setiap perjumpaan dengan Sugar Mummy akan dibayar dalam jumlah besar.

“Kita menerima aduan berhubung sindiket ini dan ada dalam kalangan pengadu yang menjadi mangsa penipuan termasuk individu yang menjadi mangsa apabila gambar mereka digunakan oleh sindiket berkenaan.

“Taktik penipuan mereka adalah setiap individu yang ingin mendapatkan perkhidmatan perlu melalui proses pendaftaran seperti memberitahu nama mereka, pekerjaan, gambar dan Sugar Mummy yang diinginkan.

“Kita percaya bahawa gambar setiap individu berkenaan turut digunakan untuk perkhidmatan lain pula atau sebagai bentuk ugutan jika ada gambar peribadi yang dihantar kepada sindiket terbabit,” katanya.

Siraj berkata, sindiket ini mengambil kesempatan terhadap masalah ekonomi segelintir individu terutamanya mereka yang hilang pendapatan akibat pandemik yang sedang melanda.

“MCCA ada menerima aduan daripada mereka yang kehilangan pekerjaan dan mahu mendapatkan wang mudah.

“Akhirnya mereka terpedaya dengan sindiket penipuan ini dan ada yang rugi ribuan ringgit semata-mata untuk memperoleh pendapatan lumayan dengan perkhidmatan terbabit.

“Saya juga perhatian bahawa sindiket ini akan menghantar mesej kepada sesiapa saja bertujuan untuk menarik perhatian mereka dan terjerat dengan penipuan sindiket terbabit,” katanya.

sumber:hm

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*